Thursday, 29 May 2014

Al Fatihah..





Sultan Azlan Shah, Sultan Perak ke-34, mangkat tengah hari semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. 

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah yang pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-9, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.30 tengah hari. 
Kemangkatan baginda yang memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi secara langsung televisyen dan radio kira-kira jam 3.30 petang. 

Seluruh rakyat jelata negeri Perak kehilangan seorang Sultan dikasihi dan berjiwa rakyat. 

"Saya Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, mewakili seluruh rakyat jelata Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para ambiya, syuhada dan solehin" katanya yang sebak ketika membacakan teks pengisytiharan kemangkatan baginda di Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini. 

Zambry berkata, jenazah baginda akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi penghormatan terakhir dan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, di Masjid Ubudiah selepas solat Asar, hari ini. 

Beliau berkata, sebagai penghormatan atas kemangkatan baginda, hari ini diisytiharkan cuti umum bagi negeri Perak sempena hari pemakaman. 

Bendera Negeri Perak perlu dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh berkabung selama 100 hari mulai hari ini (semalam), manakala bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari. Sepanjang tempoh berkabung selama tujuh hari itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan, katanya. 

Beliau berkata, penghormatan terakhir oleh orang ramai bermula jam 9 hingga 11.30 pagi. Bagi pembesar negeri, orang kenamaan dan perwakilan asing jam 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari manakala Sultan, Raja-Raja, Yang di-Pertua Negeri dan pembesar negara asing mulai jam 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.




sumber: bharian

No comments: