Tuesday, 5 February 2013

Peringatan Untuk Semua..

Kuala Lumpur: Haram bagi umat Islam membuka ruang untuk orang bukan Islam mempersenda kebesaran Allah, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Sehubungan itu katanya, umat Islam berkewajipan mengawal pada peringkat awal daripada berlakunya usaha yang boleh memperlekeh dan mempersenda kalimah suci berkenaan.
Hormati agama lain

“Malah, umat Islam dilarang mengutuk sembahan penganut agama lain supaya mereka tidak mengutuk Allah yang kita sembah, jika umat Islam membenarkan Allah dikutuk, kita yang patut dipersalahkan,” katanya.

Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menyatakan bukan Islam yang menghadiri majlis dan ceramah parti itu tidak dihalang menyebut Allahuakbar. Mohamad Shukri berkata, Kelantan menguatkuasakan Seksyen 9 Bahagian 1 dan 2 Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) 1981 melarang perkataan dikaitkan dengan agama bukan Islam. Katanya, kalimah Allahuakbar antara 10 kalimah yang dinyatakan dalam Seksyen 9 Bahagian 2 iaitu perbahasan (bahasa) yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Enakmen sama turut dikuatkuasakan di sembilan negeri iaitu Terengganu sejak 1980, manakala Kedah, Melaka, Perak dan Selangor sejak 1988, diikuti Pahang (1989), Negeri Sembilan dan Johor pada 1991.

“Allahuakbar perlu diucap dengan penuh keimanan, atas kesedaran Allah Maha Agung, sebab itu dalam enakmen dinyatakan Allahuakbar tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam sebagai satu bentuk kawalan supaya tidak disalah erti dan disalah guna,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata Allahuakbar hanya boleh dilaungkan oleh orang bukan Islam yang mengakui, memahami dan menerima Islam sebagai agama suci dan benar.

Katanya, mereka yang menyebut kalimah suci itu tetapi enggan mengakui Allah itu Maha Besar dan kebesaran Islam dianggap cuba merendahkan martabat dan kesucian Islam.

“Mungkin penganut agama lain akan lebih dekat dengan Islam jika mengucapkan kalimah suci itu tetapi jika mereka sekadar mempermainkan kalimah itu, tidak dibenarkan dalam Islam.“Masalahnya bagaimana kita boleh mengetahui sama ada mereka ikhlas menyebut kalimah itu (bagaimanapun) kita perlu bersangka baik,” katanya.

 sumber dari : Berita Harian



p/s: Menjadi isu yang penting buat umat Islam di Malaysia untuk menjadi lebih peka terhadap penghinaan agama Islam..jangan disebabkan politik..agama kita sendiri dipermain - mainkan..sedarlah..jangan nanti kelak tergadai maruah, agama, bangsa dan negara.. :- )

No comments: