Thursday, 18 April 2013

2030? LAMA LAGI KOT..HUHUHUHU

 PROJEK MEGA KL - TUMPAT


Pembinaan rel 600km dijangka bermula sebelum 2030
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) sepanjang 600 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur sehingga ke Tumpat, Kelantan dijangka dimulakan selepas pembinaan beberapa projek rel mega sedia ada sudah berada pada peringkat akhir pelaksanaannya.
Ketua Pembangunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azmi Abdullah Aziz, berkata pihaknya sedang mengkaji cadangan ECRR yang dikemukakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), tetapi setakat ini tiada keputusan muktamad.
Beliau berkata, SPAD berpendapat projek itu tidak boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini kerana sudah terlalu banyak projek rel dilaksanakan ketika ini seperti sambungan laluan LRT, MRT dan beberapa projek rel penting yang lain.
Perlu penelitian 
“Ia tidak boleh dilaksanakan serentak kerana jika terlalu banyak projek mega dilaksanakan pada satu-satu masa, ia akan menyebabkan ekonomi negara berada dalam satu keadaan terlalu ‘panas”. Justeru, untuk memastikan kelangsungan sumber yang kita miliki, kerajaan perlu mengatur pelaksanaannya dengan teliti.

“Jika ada projek (rel yang sedang dilaksanakan) dapat disiapkan sebelum 2020, baru kerajaan akan umumkan pelaksanaan projek baru. Jadi bagi ECRR ini, ia akan tetap dilaksanakan dalam tempoh Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan, iaitu sebelum 2030,” katanya kepada Media NSTP di Kuala Lumpur, semalam.
Cadangan projek ECRR sebelum ini dilaporkan dirancang bagi menghubungkan Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu. 
Azmi berkata, pembangunan laluan rel baru itu bertujuan mewujudkan hubungan lebih baik ke Pantai Timur dan membawa limpahan hasil pembangunan Greater KL ke kawasan berkenaan yang sebelum ini terha-lang oleh Banjaran Titiwangsa. 
Justeru, katanya, skim rel baru itu akan dibina merentasi Banjaran Titiwangsa, sekali gus mempercepatkan pergerakan penumpang di pantai timur ke Kuala Lumpur.
Singapura setuju projek HSR
 
Mengenai projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Azmi berkata, pembinaannya dijangka dapat dimulakan tahun ini. 
Beliau berkata, projek itu kini sedang dalam fasa perincian butiran pembangunannya yang mana rundingan dengan kerajaan Singapura akan dimulakan secepat mungkin selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Walaupun pada asasnya Singapura sudah bersetuju melaksanakannya, cabaran utama projek ini adalah pada perincian butiran utamanya kerana bidang kuasa kita hanya sehingga sempadan Malaysia dan selebihnya adalah Singapura.

“Kita perlu mendapatkan kerjasama dan persetujuan mereka dalam butiran utama pembangunan projek ini seperti skim rel dan pembabitan pelabur masing-masing.

“Walaupun agak mencabar, kami tetap dengan sasaran untuk menyelesaikan projek ini menjelang 2020, dan mula membuka bida bagi tender kerja pembinaannya bagi bahagian Malaysia bermula tahun ini,” katanya.
Singapura menyatakan persetujuan membangunkan projek HSR ketika pertemuan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Keempat, Februari lalu.

sumber: bharian.com


p/s: insyaallah sempat kot aku balik KB naik ketapi ni..hehehe..

No comments: