Thursday, 19 September 2013

ALHAMDULILLAH..dah lama pakcik tunggu!


sapa rasa - rasa ada saman AES bolehlah start mengumpul duit..hahaha..la ni saman sudah dikurangkan dari RM300.00 ke RM150.00


Kerajaan ambil alih operasi berkuat kuasa serta-merta

Kerajaan semalam memutuskan mengambilalih sepenuhnya operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan menurunkan kadar minimum kompaun AES kepada RM150 berkuat kuasa serta merta. 

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang dipengerusikan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.  

Beliau berkata, syarikat milik penuh kerajaan yang diperbadankan, AES Solutions Sdn Bhd (AES Solutions) akan mengambil alih operasi yang sebelum ini dikendalikan ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd. 

Kadar minimum
Katanya, kadar minimum kompaun itu pula diturunkan selaras kadar yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

"Usaha pengambilalihan saham syarikat ini dibuat memandangkan ia jalan terbaik untuk memastikan kesinambungan perjalanan sistem AES yang terbukti berjaya mengurangkan kemalangan di kawasan tertentu.  


“Pengambilalihan ini juga memberi ruang kepada kerajaan merancang secara tersusun perluasan dan pelaksanaan sistem ini dengan mengambil kira rintihan serta keluhan orang ramai,” katanya.  

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang juga ketua Eksekutif PEMANDU; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Kementerian Kewangan katanya, selaku agensi peneraju bersetuju melantik firma audit bebas bagi memastikan pampasan yang akan dibayar adil dan munasabah.


“Penguatkuasaan dan operasi sistem AES akan dilaksanakan PDRM dengan dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan selepas ini, sistem saman di PDRM serta AES diselaraskan manakala saman hanya akan dikeluarkan oleh PDRM.   


“PDRM juga bersetuju mulai hari ini (semalam) semua operasi kamera penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana papan tanda amaran perlu diletakkan di kawasan operasi had laju,” katanya. 

Bagi status saman tertunggak dan pesalah yang sudah menyelesaikan bayaran saman RM300 sebelum ini, Kabinet akan mempertimbangkan kaedah bersesuaian bagi menyelesaikan isu itu secara menang-menang. 




Berikut adalah soal jawab ketika sidang media Hishammuddin: 

S: Bagaimana keputusan menyerahkan pelaksanaan AES ini dibuat?
J: Seperti saya sebutkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi sebelum ini, kementerian diarah wujudkan tiga jawatankuasa kecil di bawah Jawatankuasa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Berkaitan Pelaksanaan AES iaitu Jawatankuasa Kecil Perundangan, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Jawatankuasa Kecil Operasi. Saya lega dan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Peguam Negara kerana kami sudah menerima laporan tiga jawatankuasa berkenaan dan kini pada peringkat akhir dalam menangani isu AES ini. 

S: Apa kebimbangan orang ramai dalam pelaksanaan AES hingga ia terpaksa ditangguhkan?
J: Ada dua perkara ramai iaitu rasa tidak selesa pelaksanaan penswastaan AES dan kementerian sudah diarahkan melihat semula kaedah (pelaksanaan), liabiliti, kontrak dan tenaga kerja yang akan diambil alih. Begitu juga dengan maklum balas umum, ramai yang melihat sistem AES ini berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan keberkesanannya disokong oleh statistik setakat ini. 

S: Bagaimana proses pengambilalihan dan pembayaran pampasan ini akan dibuat?
J: Apabila kita mengambil alih nanti kita nak pastikan tidak ada pihak yang ambil kesempatan, kita akan melihat kepada penilaian saham, kedudukan kewangan kedua-dua syarikat (ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd) yang akan memperakukan kos pengambilalihan sebenar. 

Pampasan yang ditetapkan akan dipastikan tidak keterlaluan. Pihak ketiga yang akan mengambil alih sudah dikenal pasti dan perlu diaudit bagi memastikan tiada pihak membuat keuntungan tidak munasabah. Mengenai pampasan, ya... kita akan mengambil alih aset berkenaan bersama sistem AES tetapi ia di bawah pengawasan saya dan saya akan pastikan tidak ada pihak mendapat keuntungan tidak sepatutnya melalui pengambilalihan ini. 

S: Bagaimana pula dengan penguatkuasaan selepas AES diambil alih kerajaan?
J: Penguatkuasaan kamera akan dilaksanakan bersama oleh JPJ dan PDRM dengan PDRM bertanggungjawab menguatkuasa dan mengendalikan pusat kawalan AES. Jabatan Peguam Negara pula bertanggungjawab melakukan pendakwaan. 

JPJ akan bertanggungjawab melalui Sistem KEJARA bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang, sekali gus menjadikan kerjasama antara agensi menjadi lebih mudah. Akhir sekali, berhubung kait bagaimana kita nak melihat ke hadapan dengan apa yang dibincangkan... saya agak puas hati dan kemungkinan menjelang hujung tahun ini, semua penyelarasan, operasi pengambilihan tugas, aset dan undang-undang yang perlu kita lihat dan kaji akan dibawa ke kabinet untuk diselesaikan secara sekali gus. 

S: Bagaimana dengan pesalah yang masih mempunyai saman tertunggak dan bagaimana kadar saman dikenakan selepas AES diambilalih?
J: PDRM dan JPJ akan menyelaraskan kadar saman. Melalui inisiatif ini, kadar baru kompaun saman AES diturunkan kepada minimum RM150 selaras dengan kadar yang dikenakan oleh PDRM. 

Kadar saman ini bagaimanapun bergantung kepada tempoh pembayaran saman dan kesalahan had laju dilakukan pengguna jalan raya di mana saman maksimum sehingga RM300. 

Mengenai saman tertunggak, kita akan syorkan kepada Kabinet supaya mempertimbangkan kaedah yang paling sesuai untuk menyelesaikan isu ini secara menang-menang.

sumber:

No comments: