Saturday, 28 September 2013

Yes! Sokong!

aku bukan nak menyalahkan sesiapa..tapi ia adalah isu yang sepatutnya untuk diketengahkan kepada pihak Kerajaan dan yang bertanggungjawab..Alhamdulillah setakat ni masih ada kaunter yang betul - betul buat kerja secara berhemah bila aku berurusan..aku salute!






Akhir-akhir ini sering sangat berlaku hal yang tidak sepatutnya gara-gara kelemahan ketara pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta penjawat awam yang boleh diandaikan tidak cekap atau bekerja sambil lewa dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.  
Ambil contoh amalan membayar saman lalu lintas baik yang dikeluarkan polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Apakah amalan yang diwujudkan kedua-dua agensi kerajaan itu tidak boleh dikatakan sengaja mahu menyusahkan orang ramai. Seorang pesara askar berumur 75 tahun yang banyak memberi khidmat menentang komunis dalam pelbagai operasi di hutan sempadan Thailand serta di Sarawak dan Sabah disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu kereta di sebatang jalan kampung yang lengang di Kampung Kubu Gajah, dekat Paya Jaras.  
Tindakan JPJ itu dilihat dari sudut keselamatan sememangnya baik dan yang kena saman pun tidak mempertikaikannya, malah telah pergi ke Ibu pejabat JPJ Selangor di Padang Jawa, Shah Alam untuk membayar denda walaupun RM300 adalah satu jumlah yang besar baginya. Tarikh akhir membayar ditetapkan pada 7 November 2013.  
Ketika di sana, hamba Allah ini diberitahu dia boleh membuat rayuan untuk mengurangkan dendanya. Ketika menghampiri pegawai JPJ ketika mahu membayar saman, dia pun memohon kadar kompaun dikurangkan. Anehnya dia diberitahu jika mahu membuat rayuan, dia terpaksa pergi ke Mahkamah Rendah di Seksyen 4, Shah Alam dan tarikh samannya dipinda pula oleh pegawai itu kepada 10 Disember.  
Bagaimanapun, dia ke mahkamah pada hari itu juga. Apabila tiba di situ pada jam 11 pagi, dia diberitahu bahawa pendaftaran untuk hari itu sudah tutup pada jam 10 pagi. Keesokan harinya, dia sekali lagi pergi ke mahkamah itu. Mengikut peraturan, dia perlu mendaftar dulu untuk berjumpa pegawai. Semua ini harus dilakukannya dalam tempoh dari jam 8 pagi hingga jam 10 pagi saja seolah-olah mereka bekerja hanya bekerja dua jam sehari. Apabila hendak mendaftar, dia diberitahu pula mengikut samannya itu, dia hanya boleh berbuat demikian pada 10 Disember saja. 
Persoalan timbul kenapa JPJ mengadakan peraturan begitu sehingga menyusahkan orang ramai? Apakah sememangnya menyusahkan orang ramai adalah satu amalan yang ditetapkan pengurusannya?  
Demikian juga halnya dengan mereka yang tinggal di luar Selangor dan dikenakan saman JPJ Shah Alam. Orang yang dikompaun hanya boleh menjelaskannya di Shah Alam saja. Ini dialami oleh seorang individu yang tinggal di Batu Pahat dikenakan saman JPJ Shah Alam kerana nombor plat keretanya terjatuh tanpa disedarinya.  
Dia tidak boleh menyelesaikan samannya itu di JPJ Batu Pahat, tetapi terpaksa mengambil cuti untuk ke Shah Alam dan tinggal di hotel hanya untuk membayar saman. Apakah ini tidak menyusahkan? Apakah dengan adanya sistem komputer peraturan sedemikian tidak boleh dilonggarkan supaya bayaran saman boleh dibuat di mana-mana pejabat JPJ?  
JPA kena tinjau operasi 
Apakah semua ini tidak menunjukkan betapa tidak cekapnya agensi kerajaan berkenaan? Kenapa diadakan peraturan yang jelas seolah-olah sengaja mahu menyusahkan orang? Apakah Jabatan Perkhidmatan Awam yang kini bertekad mahu melicinkan perjalanan urusan semua jabatan kerajaan tidak boleh meninjau sedikit peraturan dan cara perjalanan agensi sebegini.  
Persoalannya, kenapakah masih ada pejabat kerajaan yang berterusan bersikap tidak mesra orang ramai?  
Demikian juga prosedur polis lalu lintas pun menyusahkan orang yang mahu menjelaskan saman mereka. Kalau di Shah Alam, bayaran saman hanya boleh diterima di Ibu pejabat trafik Kontingen Selangor. Ia hanya dibuka lima hari seminggu. Kalau nasib tidak baik, waktu mahu membayar kompaun komputer di situ ‘buat hal’ terpaksalah datang semula pada hari lain. Kenapakah saman tidak boleh diselesaikan di mana-mana saja balai polis yang mempunyai komputer?  
Persoalan timbul kenapakah agensi kerajaan sengaja mahu menyusahkan orang ramai yang terpaksa berurusan dengan mereka? Apakah JPA, khususnya MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan) tidak boleh memberi perhatian terhadap hal sebegini atau apakah tekad JPA yang mahu mewujudkan perkhidmatan awam yang cekap, efisien, mesra pelanggan dan berintegriti sebagaimana sering dilaungkannya hanyalah untuk menyedapkan diri sendiri saja? 
oleh: Rejal Arbee, Felo Kanan UKM

No comments: