Tuesday, 24 September 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 24/9

Pada hari ini dalam tahun 2007, Kedua-dua calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed, diisytiharkan layak menyertai misi Soyuz 15-S ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007,  selepas mereka lulus kesemua ujian dengan cemerlang. 



Keputusan lembaga penetapan krew agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos, itu diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, di Putrajaya.  Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, Tun Hanif Omar.  Dr Sheikh Muszaphar diletakkan dalam kumpulan krew  pertama bersama angkasawan Russia, Yuri Malechenko dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS), manakala Dr Faiz dalam kumpulan krew kedua bersama Sharizan Sharipov (Russia) dan Michael Fincke (AS). 



Kedua-dua kumpulan itu akan menjalani latihan terakhir di Baikonur  Cosmodrome, Kazakhstan, mulai 28 September 2007 dan pemilihan muktamad  krew misi itu akan ditentukan oleh pihak Russia sebelum pelancaran Soyuz 15-S.   Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed, dipilih daripada 11,275 calon yang memohon mengikuti program itu   pada  tahun 2003. Penghantaran angkasawan pertama negara dengan kos RM95 juta itu adalah sebahagian daripada program timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.



sumber:


No comments: