Wednesday, 29 May 2013

2 KES MUATAN PENUH!

aiseh! nampak gayanya 2 kejadian 
'muatan penuh' berlaku semalam






KES 1

Pemandu bot ekspres ditahan bawa penumpang lebih 3 kali had muatan
Belaga: Kepulangan untuk menyambut perayaan Hari Gawai berakhir tragedi apabila sebuah bot ekspres yang membawa penumpang hampir tiga kali ganda melebihi muatan dibenarkan, karam, menyebabkan 23 penumpang dikhuatiri lemas, manakala 181 lagi terselamat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam di Tanjong Giam Bungan, kira-kira sejam perjalanan dari pekan ini. Ketika kejadian bot malang itu dalam perjalanan dari Bakun ke Kapit.

181 dilapor selamat
Sehingga jam 7 malam tadi, 23 penumpang masih dilaporkan hilang, manakala 181 dilaporkan terselamat, apabila mereka berenang ke rumah panjang berhampiran, selain ada yang diselamatkan penduduk berhampiran. Bot Kawan Mas itu boleh memuatkan 74 penumpang, tetapi sarat dengan 204 penumpang ketika kejadian, sehingga ramai yang terpaksa duduk di bumbung bot berkenaan.

Ketua Polis Daerah Belaga, Superintendan Bakar Sebau, berkata siasatan awal mendapati bot ekspres yang terlebih muatan itu terbalik setelah terlanggar batu di satu selekoh berhampiran Tanjong Giam menghala ke Sungai Rejang.

Katanya, bot berkenaan membawa pekerja kontrak dari Bakun, Murum dan Sungai Asap pulang ke Belaga dan Kapit untuk menyambut Hari Gawai.
“Bot yang sarat dengan penumpang itu singgah menurunkan penumpang di Jeti Belaga dan meneruskan perjalanan ke Kapit. Kira-kira sejam perjalanan, bot terbabit terlanggar batu sebaik tiba di selekoh sebelum karam,” katanya ketika dihubungi.
Muatan berlebihan
Bakar berkata, kapasiti bot cuma untuk 74 penumpang tetapi muatan berlebihan menyebabkannya tidak stabil dan mudah terbalik.
“Penumpang yang duduk di luar bot sempat menyelamatkan diri dengan dibantu penduduk dua rumah panjang berhampiran, manakala penumpang yang dikhuatiri lemas adalah mereka yang duduk di dalam bot.

“Sukar untuk mengetahui jumlah sebenar penumpang tetapi selepas soal siasat dijalankan dengan anggota keluarga, polis percaya 23 penumpang saja yang masih hilang,” katanya.
Pemandu bot ditahan
Bakar berkata, pemandu bot berusia awal 50-an ditahan bagi membantu siasatan dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Katanya, penumpang terselamat masih ditempatkan di Rumah Panjang Uma Tevok dan Uma Tanjong, sementara menunggu bantuan susulan.

“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan bomba, polis dan Lembaga Sungai Sarawak (LSS).

“Pasukan penyelam polis dari Bintulu dan pasukan paramedik dari Kapit dalam perjalanan ke lokasi kejadian, dijangka tiba kira-kira jam 8 malam ini (malam tadi),” katanya.
Difahamkan perjalanan menaiki bot di kawasan berkenaan yang banyak bergantung kepada paras air sungai, selain jumlah bot ekspres yang terhad di laluan terbabit dan jumlah penumpang terlalu ramai untuk balik menyambut Gawai, dipercayai antara sebab bot malang itu terpaksa membawa penumpang jauh melebihi muatan dibenarkan.
 sumber: bharian.com


KES 2 


7,000 penyokong penuhi trek Stadium Darul Makmur
Kuantan: Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (DT) malam tadi terpaksa dibatalkan selepas berlaku kekecohan penonton yang menyaksikan lebih 7,000 penyokong membanjiri trek Stadium Darul Makmur, dan beberapa orang tercedera akibat balingan objek keras.

Limpahan penonton berlaku selepas stadium berkapasiti 35,000 itu dibanjiri lebih 42,000 penyokong dari kedua-dua pasukan mengakibatkan pihak keselamatan terpaksa menangguhkan sepak mula bagi meleraikan penonton berhampiran padang.
Sultan Pahang yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turun mencemar duli untuk bertanyakan situasi sebenar kepada pegawai perlawanan selain turut bertemu beberapa penyokong Tok Gajah yang duduk di atas trek.

Terlalu hampir dengan padang
Berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap perlawanan tidak boleh dilangsungkan andai ada penonton yang duduk terlalu hampir dengan padang kerana dibimbangi bakal mencetuskan keadaan tidak selesa pemain terutama membabitkan keselamatan masing-masing.

Penyokong Johor DT, Salehan Sakiran, 39, yang datang bersama rakannya dari Muar, Johor kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ia berpunca daripada kesilapan PBNP kerana menjual tiket melebihi kapasiti stadium.

“Kalau ditanya mengenai perasaan saya sekarang, memang takut kerana kami berada dalam kelompok kecil dan ia pasti mengundang masalah besar buat kami.  
"Saya harap perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa depan dan memohon supaya kawalan keselamatan di stadium diperketatkan lagi. Saya lihat tadi sudah ada penyokong Pahang yang cedera dan jika keadaan sebegini berterusan, tidak mustahil lebih ramai lagi yang akan mengalami nasib malang," katanya.

Seorang lagi penyokong Johor DT, Rosli Shariff, 43, berkata, penganjur perlawanan perlu lebih peka soal keselamatan berbanding hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

"Keadaan ini akan membahayakan penyokong terutamanya wanita dan kanak-kanak. Kalau itu berlaku, bukankah ia sesuatu yang sangat merugikan. Memang sejak petang tadi, penyokong tuan rumah sudah ramai tetapi saya sama sekali tidak menjangka mereka akan memenuhi tempat duduk hingga ada di antara mereka yang terpaksa duduk di atas trek," katanya.
 sumber: bharian.com


walaupun berbeza kes namun masalahnya tetap sama..tiada pengawasan yang ketat terhadap perkara itu..yang menjadi mangsa adalah orang yang membeli TIKET BOT & orang yang membeli TIKET BOLA SEPAK! moga dapat perhatian pihak - pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara ini..




p/s: aku masih teringat ketawa riang pengulas sukan di Astro Arena malam semalam apabila melihat kucing terberak di tengah padang! hahaha..unik!

No comments: