Monday 20 May 2013

PDRM bertindak!

Alor Setar: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan sewajarnya jika pengisian Himpunan Black 505 yang dijadual diadakan di Markas PAS Kedah, dekat sini, malam esok bertentangan dengan mana-mana peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Alor Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan, berkata pihaknya akan memantau pengisian program berkenaan termasuk ucapan dibuat dan acara lain yang diadakan.
Elak kekecohan
Katanya, jika ada sebarang unsur yang dikesan bertentangan dengan undang-undang, polis akan pertimbangkan untuk tindakan sewajarnya. Ini prosedur biasa untuk mana-mana majlis atau program sekali pun.

Pemantauan dilakukan bukan saja untuk memastikan ia berjalan lancar, tetapi paling penting mengelak berlaku sebarang kekecohan, katanya ketika diminta mengulas himpunan itu yang bakal dianjurkan di daerah ini oleh pembangkang, malam esok.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, menegaskan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sebarang permit untuk penganjuran Himpunan Black 505 di Stadium Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti, di sini.
 
Katanya, ia berikutan pengisiannya di beberapa lokasi sebelum ini jelas bermotif menimbulkan kebencian terhadap kerajaan, selain sarat dengan tohmahan dan dakwaan tidak berasas.

Tak terima permohonan
Adzaman juga menegaskan polis setakat ini tidak menerima sebarang permohonan daripada pembangkang untuk penganjuran himpunan berkenaan.

Hingga kini polis belum terima sebarang makluman mengenai perhimpunan itu, namun kita tidak berdepan masalah dengan penganjuran program terbabit kerana ia diadakan di dalam kawasan persendirian.

Apa pun, kita harap pihak penganjur dapat memastikan himpunan ini berjalan dengan aman, termasuk menjaga pengisian himpunan sebaik mungkin tanpa menimbulkan sebarang perkara yang berunsur hasutan atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, katanya.

sumber: bharian.com



p/s: speechless atas tindakan ramai pihak yang berlainan pendapat dan ideologi..:)

No comments: