Saturday 24 August 2013

Hari Ini Dalam Sejarah - 24/08/2013

Pada hari ini 24.8.1974, Pilihanraya Umum Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri kecuali Dewan Undangan Negeri Sabah telah diadakan pada 31 Julai 1974. 
Pilihanraya ini diadakan untuk memilih wakil-wakil bagi memenuhi 154 buah kerusi Dewan Rakyat dan 360 buah kerusi Dewan Undangan Negeri yang berkenaan. Pilihanraya umum 1974 ini merupakan pilihanraya umum Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kali ke-4 yang diadakan di Negeri-Negeri Tanah Melayu semenjak mencapai kemerdekaan dan kali ketiga semenjak Malaysia ditubuhkan. 
Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak pula, pilihanraya 1974 ini adalah pilihanraya secara langsung kali kedua diadakan bagi memilih wakil-wakil ke Dewan Rakyat. Ini adalah juga kali kedua pilihanraya diadakan secara langsung untuk memilih wakil-wakil ke Dewan Undangan Negeri Sarawak. Pilihanraya Umum Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kecuali Dewan Undangan Negeri Sabah diadakan serentak pada hari ini dalam tahun 1974. 
Walaupun pengundian di Negeri-Negeri Tanah Melayu telah dapat dilangsungkan dalam sehari, namun oleh kerana adanya masalah perhubungan dan pengangkutan, pengundian di negeri Sabah dan Sarawak telah berlangsung berperingkat-peringkat dan ia telah mengambil masa selama dua hingga tiga minggu sebelum ianya dapat ditamatkan. Daftar pemilih yang digunakan untuk pilihanraya umum 1974 ialah daftar yang disemak dalam tahun 1973 dan telah disahkan pada 3 Julai 1974, daftar-daftar ini telah disusun mengikut bahagian-bahagian pilihanraya baru. 
Daftar ini mengandungi pemilih berjumlah 4, 130, 032 seperti berikut :- 
Negeri-Negeri Tanah Melayu  3,523, 681 
Sabah    230, 469 
Sarawak    375, 882

Calon-calon dari lapan buah parti siasah telah bertanding dan hanya calon dari 4 buah parti yang telah mencapai kejayaan, yang lainnya telah gagal untuk memenangi satu kerusi pun. 
Bilangan kerusi Dewan Rakyat yang diperolehi calon dari parti-parti yang berjaya dalam Pilihanraya 1974 ini ialah:
 
Parti                                                       Bilangan kerusi                             
Barisan Nasional                                         135 
Parti Keadilan Masyarakat                           1     
Parti Tindakan Demokratik                           9     
Parti Kebangsaan Sarawak                            9              
Sesungguhnya pilihanraya tahun 1974 ini telah dilancarkan dengan aman dan sempurna. Kemenangan yang dicapai oleh Parti Barisan Nasional menunjukkan bahawa rakyat negara ini telah menaruh keyakinan teguh atas parti Barisan Nasional yang telah berjaya mewujudkan satu negara maju dan bersepadu.

sumber: Arkib Negara

No comments: