Showing posts with label history. Show all posts
Showing posts with label history. Show all posts

Tuesday, 8 October 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 8/10


Pada  hari  ini  dalam  tahun 1997,  Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir  telah melancarkan bandaraya baru Putrajaya bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.  

Ketika berucap pada majlis pelancaran itu juga Perdana Menteri menyatakan Putrajaya akan mencerminkan ciri – cirri dan semangat Malaysia di samping menjadi satu lagi mercu tanda yang memperlihatkan keupayaan Malaysia dalam pembangunan Bandar, khususnya dalam membina bandaraya untuk kerajaan dan rakyat.


Bahagian Keselamatan Negara dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri merupakan pejabat kerajaan yang pertama memulakan operasi di Kompleks Pejabat Perdana Menteri. Sesungguhnya, hasil daripada perancangan teliti menggabungkan reka bentuk moden, tradisional dan campuran serta mengekalkan konsep kehijauan telah menjadikan Putrajaya sebuah perbandaran yang paling moden di rantau ini.

Sehingga kini, Putrajaya ditadbirurus oleh Perbadanan Putrajaya. Kini pelbagai kemudahan dan tempat rekreasi dibina untuk keselesaan penduduk Putrajaya.











sumber:



Tuesday, 1 October 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 01/10



Pada hari ini dalam tahun 1996, Menara Kuala Lumpur yang terletak di Bukit Nanas telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad. Menara Kuala Lumpur yang dibina bagi mempertingkatkan khidmat telekomunikasi dan sistem pemancar di negara ini terletak 515 meter dari aras laut dengan ketinggian 421 meter. Kerja-kerja asas pembinaannya telah dimulakan pada Oktober 1991 dan pembinaan menaranya dimulakan pada tahun 1993 sehingga siap pada tahun 1996. Arkitek bagi pembinaan menara ini adalah Datuk Nik Mohammed bin Nik Mahmud.  


Thursday, 26 September 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 26/9

Pada hari ini 26.9.1913, DYMM Sultan Idris Morsidu-Al Adzam Shah, Perak telah berkenan melakukan upacara meletakkan batu asas Masjid Ubudiah di Bukit Chandan Kuala Kangsar. 



Turut hadir di upacara ini ialah DYMM Sultan Selangor, Raja Chulan, Dato' Sri Andika Raja, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Residen Perak. Pembinaan Masjid Ubudiah ini mengambil masa selama 2 tahun dan melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM 300, 000 ringgit. Bahan-bahan binaan masjid ini kebanyakannya diimport dari Itali dan ia merupakan salah sebuah masjid yang termoden dan terindah yang mempunyai berbagai keistimewaan. Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Dari segi reka bentuk ia juga amat menarik. 


sumber foto:
sembangkuala

Pelannya telah disediakan oleh Pereka bentuk Kerajaan Negeri-Negeri Melayu, A. B. Hubback dibawah penyeliaan W. S. Huxley. Ia berbentuk oktagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London. Walaupun pembinaan masjid ini menghadapi masalah untuk mendapatkan bahan-bahan binaan dari luar negeri tetapi ia akhirnya siap dibina 2 tahun kemudian iaitu pada tahun 1915 dan dirasmikan pembukannya oleh Sultan Abdul Jalal. Sebagai mengenang jasa pengasasnya, Sultan Idris maka pada hari ini dalam tahun 1913, nama baginda telah diabadikan di majlis ini.
sumber:

Tuesday, 24 September 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 24/9

Pada hari ini dalam tahun 2007, Kedua-dua calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed, diisytiharkan layak menyertai misi Soyuz 15-S ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007,  selepas mereka lulus kesemua ujian dengan cemerlang. 



Keputusan lembaga penetapan krew agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos, itu diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, di Putrajaya.  Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, Tun Hanif Omar.  Dr Sheikh Muszaphar diletakkan dalam kumpulan krew  pertama bersama angkasawan Russia, Yuri Malechenko dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS), manakala Dr Faiz dalam kumpulan krew kedua bersama Sharizan Sharipov (Russia) dan Michael Fincke (AS). 



Kedua-dua kumpulan itu akan menjalani latihan terakhir di Baikonur  Cosmodrome, Kazakhstan, mulai 28 September 2007 dan pemilihan muktamad  krew misi itu akan ditentukan oleh pihak Russia sebelum pelancaran Soyuz 15-S.   Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed, dipilih daripada 11,275 calon yang memohon mengikuti program itu   pada  tahun 2003. Penghantaran angkasawan pertama negara dengan kos RM95 juta itu adalah sebahagian daripada program timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.



sumber:


Sunday, 22 September 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 22/9



Pada  hari ini dalam tahun 1970, Tun Abdul Razak Hussein telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang kedua bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara dari arena politik. Upacara pelantikan ini telah berlangsung di Istana Negara dalam satu majlis ringkas di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muazam Shah dan Tunku Abdul Rahman Putra. Semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu  satu strategi pembangunan ekonomi bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi. Bagi memupuk perpaduan rakyat, Tun Abdul Razak telah memesatkan lagi pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan menambah bilangan sekolah dan institusi pengajian kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta menggubal Rukunegara. Bagi memantapkan politik Malaysia, beliau telah mengembangkan gagasan dan gabungan Parti Perikatan melalui gabungan dan kerjasama dengan lebih banyak parti politik sehingga tertubuhnya Barisan Nasional pada 1 Januari 1973. Di peringkat antarabangsa, beliau mengukuhkan lagi ASEAN dengan mengemukakan gagasan ‘Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali’ (ZOPFAN) dalam persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 1971.


"This is our home and it is our determination to make this country a happy and prosperous country for all of us"~ Tun Abdul Razak



sumber: 

Thursday, 29 August 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 29/08/2013

PENGISYTIHARAN PENETAPAN HARI MALAYSIA DITANDATANGANI

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1963, DYMM  Yang  di Pertuan  Agong,  Tuanku  Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalulail  telah menandatangani  pengisytiharan pemasyhuran 16 September 1963 sebagai Hari Malaysia. Perisytiharan ini perlu dilakukan  lebih  awal  kerana persetujuan  yang  dicapai  di London  pada  9  Julai  1963 antara kerajaan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan British menetapkan bahawa  penubuhan  Malaysia  adalah  pada  31 Ogos 1963, sedangkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak dapat menyiapkan laporannya sebelum 31 Ogos 1963.  Oleh itu, penubuhan Malaysia perlu ditangguhkan sehingga laporan tersebut  siap, yang dijangkakan  pada  14  September 1963.

Berikutan  daripada  ini  Malaysia  berjaya ditubuhkan  pada 16 September 1963, ini  kerana  majoriti penduduk di Borneo Utara dan Sarawak bersetuju dengan penubuhannya. Sesungguhnya,  Kemahuan rakyat mengenai  penubuhan  Malaysia telah ditunjukkan menerusi laporan Suruhanjaya Cobbold dan disahkan oleh perwakilan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.




Sunday, 25 August 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 25/08/2013

25/08..turut tercalit beberapa peristiwa suka duka Malaysia..memandangkan kemerdekaan akan menjelang tiba..pastikan semangat PATRIOTISME anda sentiasa ada dalam diri..sayangkan Agama, Bangsa dan Negara..semoga semuanya sejahtera hendaknya..
"...merdeka itu bukanlah suatu bendayang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan."
- Tunku Abdul Rahman

"...Hari Merdeka ialah hari Kebangsaan kita. Marilah kita membanggakan negara kita dan sentiasa berjaga-jaga supaya tidak dipengaruhi oleh fahaman Kebangsaan yang sempit. Jika fahaman Kebangsaan yang sempit itu dibiarkan hidup dengan perasaan yang meluap-luap maka sifat bertolak ansur dan tali persahabatan kita dengan negeri- negeri lain yang bebas akan terkecewa. Dengan yang demikian maka terganggulah keamanan dan ketenteraman dunia...."
- Tun Abdul Razak

"Di zaman kursus kilat dan massa komunikasi moden, kebanyakan orang ramai, istimewa pemuda pemudi tidak begitu pandai menghiburkan diri sendiri dengan membaca buku. Tambahan lagi, di zaman ini orang sentiasa mencari jalan pendek untuk pandai. Sebenarnya, tamadun manusia di beberapa zaman dan di beberapa benua membuktikan bahawa kita hanya boleh mendapat pengetahuan dengan selalu membaca serta berfikir panjang dalam jangka masa yang lama. Tidak kursus kilat untuk menjadikan seseorang itu waras serta cerdik sekelip mata."
- Tun Hussein Onn

"...bukan kecil tugas kita; meneruskan perjuangan kemerdekaan kita; kerana rupanya selain kemerdekaan; mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara..."
 - Tun Dr. Mahathir Mohamed


Saturday, 24 August 2013

Hari Ini Dalam Sejarah - 24/08/2013

Pada hari ini 24.8.1974, Pilihanraya Umum Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri kecuali Dewan Undangan Negeri Sabah telah diadakan pada 31 Julai 1974. 
Pilihanraya ini diadakan untuk memilih wakil-wakil bagi memenuhi 154 buah kerusi Dewan Rakyat dan 360 buah kerusi Dewan Undangan Negeri yang berkenaan. Pilihanraya umum 1974 ini merupakan pilihanraya umum Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kali ke-4 yang diadakan di Negeri-Negeri Tanah Melayu semenjak mencapai kemerdekaan dan kali ketiga semenjak Malaysia ditubuhkan. 
Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak pula, pilihanraya 1974 ini adalah pilihanraya secara langsung kali kedua diadakan bagi memilih wakil-wakil ke Dewan Rakyat. Ini adalah juga kali kedua pilihanraya diadakan secara langsung untuk memilih wakil-wakil ke Dewan Undangan Negeri Sarawak. Pilihanraya Umum Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kecuali Dewan Undangan Negeri Sabah diadakan serentak pada hari ini dalam tahun 1974. 
Walaupun pengundian di Negeri-Negeri Tanah Melayu telah dapat dilangsungkan dalam sehari, namun oleh kerana adanya masalah perhubungan dan pengangkutan, pengundian di negeri Sabah dan Sarawak telah berlangsung berperingkat-peringkat dan ia telah mengambil masa selama dua hingga tiga minggu sebelum ianya dapat ditamatkan. Daftar pemilih yang digunakan untuk pilihanraya umum 1974 ialah daftar yang disemak dalam tahun 1973 dan telah disahkan pada 3 Julai 1974, daftar-daftar ini telah disusun mengikut bahagian-bahagian pilihanraya baru. 
Daftar ini mengandungi pemilih berjumlah 4, 130, 032 seperti berikut :- 
Negeri-Negeri Tanah Melayu  3,523, 681 
Sabah    230, 469 
Sarawak    375, 882

Calon-calon dari lapan buah parti siasah telah bertanding dan hanya calon dari 4 buah parti yang telah mencapai kejayaan, yang lainnya telah gagal untuk memenangi satu kerusi pun. 
Bilangan kerusi Dewan Rakyat yang diperolehi calon dari parti-parti yang berjaya dalam Pilihanraya 1974 ini ialah:
 
Parti                                                       Bilangan kerusi                             
Barisan Nasional                                         135 
Parti Keadilan Masyarakat                           1     
Parti Tindakan Demokratik                           9     
Parti Kebangsaan Sarawak                            9              
Sesungguhnya pilihanraya tahun 1974 ini telah dilancarkan dengan aman dan sempurna. Kemenangan yang dicapai oleh Parti Barisan Nasional menunjukkan bahawa rakyat negara ini telah menaruh keyakinan teguh atas parti Barisan Nasional yang telah berjaya mewujudkan satu negara maju dan bersepadu.

sumber: Arkib Negara