Sunday 22 September 2013

HARI INI DALAM SEJARAH - 22/9



Pada  hari ini dalam tahun 1970, Tun Abdul Razak Hussein telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang kedua bagi menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang bersara dari arena politik. Upacara pelantikan ini telah berlangsung di Istana Negara dalam satu majlis ringkas di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muazam Shah dan Tunku Abdul Rahman Putra. Semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah memperkenalkan beberapa dasar, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu  satu strategi pembangunan ekonomi bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat Malaysia dari segi pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi. Bagi memupuk perpaduan rakyat, Tun Abdul Razak telah memesatkan lagi pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan menambah bilangan sekolah dan institusi pengajian kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar serta menggubal Rukunegara. Bagi memantapkan politik Malaysia, beliau telah mengembangkan gagasan dan gabungan Parti Perikatan melalui gabungan dan kerjasama dengan lebih banyak parti politik sehingga tertubuhnya Barisan Nasional pada 1 Januari 1973. Di peringkat antarabangsa, beliau mengukuhkan lagi ASEAN dengan mengemukakan gagasan ‘Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali’ (ZOPFAN) dalam persidangan ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 1971.


"This is our home and it is our determination to make this country a happy and prosperous country for all of us"~ Tun Abdul Razak



sumber: 

No comments: