Tuesday 26 March 2013

Al - Fatihah

Kuala Lumpur: Tokoh cendekiawan Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, kembali ke rahmatullah jam 7 malam tadi.
Beliau meninggal dunia di kediamannya di kuarters Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) di sini.

Allahyarham yang juga Felo Amat Utama ISTAC dan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2005 (1426 Hijrah), meninggalkan seorang balu, Mariam Hussin, 65, serta 12 anak berumur 45 hingga 30 tahun.

Anak Allahyarham, Asma berkata ayahnya meninggal dunia secara mengejut ketika melakukan kerja ilmiah di bilik tidur.

Rebah atas katil

Allahyarham ketika itu duduk di atas katil menguruskan kitab yang diambil, sebelum rebah. Pasukan paramedik kemudian mengesahkan Allahyarham sudah meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, selepas solat Zuhur esok (hari ini) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIAM, katanya.
Beliau berkata, Allahyarham pernah mengalami masalah jantung tahun lalu, selain penyakit darah tinggi.

Allahyarham yang dilahirkan pada Februari 1943, berasal dari Kampung Teluk Panji, Kota Bharu, Kelantan, terkenal dengan sumbangannya menghasilkan banyak penulisan berkaitan ketamadunan Islam.

Allahyarham juga membentangkan kertas kerja dalam seminar pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa mengenai Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah, di samping menterjemah buku dari bahasa Arab dan Inggeris.

Antara bahan ilmiah dihasil dan diterjemah Allahyarham ialah Al-Quranul-Karim; Fathul Mu'in; Peradaban dalam Islam; Memahami Islam; Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi serta Islam dan Kebudayaan.

sumber:  Berita Harian


p/s: al - fatihah..takziah buat keluarga allahyarham..hilang seorang ulama yang berkaliber dalam negara kita ni..emm

No comments: