Kuala Lumpur: Penggunaan teknologi ‘Near Field Communication’ (NFC), membolehkan umat Islam mengesan restoran yang memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui telefon pintar.
Teknologi NFC melalui aplikasi ‘Halal Square’ dan rangkaian sosial ‘Halal Inside’ bukan saja membolehkan pengguna mengesan restoran di negara ini yang memiliki sijil halal, malah turut mampu mengenal pasti premis makanan halal di 58 negara luar yang bekerjasama dengan JAKIM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata penggunaan aplikasi itu yang membolehkan pengesanan awal dilakukan melalui telefon pintar dari sejauh 500 meter, juga mampu mengesan sebarang penipuan membabitkan sijil halal kerana pengguna boleh melakukan semakan melalui teknologi terbabit.
Beliau berkata, kaedah baru itu selaras perkembangan masa kini di mana orang ramai menggunakan pelbagai gajet termasuk telefon pintar bagi mendapatkan maklumat.
Pacu perkembangan industri halal
“Melalui aplikasi ini, pengguna telefon pintar akan mendapat isyarat melalui getaran pada telefon bimbit apabila berada kira-kira 500 meter dari premis makanan yang mempunyai pensijilan halal JAKIM. Saya yakin ia mampu memacu perkembangan industri halal ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Jamil Khir berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Global Pelaksanaan Sistem Pengesanan Pensijilan Halal Malaysia berasaskan penggunaan teknologi NFC-Halal Square dan Halal Inside yang dibangunkan bersama JAKIM dan Malaysia Microelectronic Solutions Sdn Bhd (My-MS), di sini semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif My-MS, Shafiq Akmal Ismail.
Sementara itu, Shafiq berkata, teknologi NFC adalah satu sambungan atau komunikasi dua peranti dengan menyentuh satu sama lain atau mendekatkan pada jarak tertentu dan kini diguna pakai di luar negara termasuk oleh syarikat terkemuka seperti Starbuck dan Citibank.
Katanya, melalui teknologi pintar itu, jika ada salah guna sijil halal JAKIM, maklumatnya akan terus disalurkan kepada jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut.
sumber: Berita Harian
Klik Sini Untuk Download
p/s: aku dah ada..korang? hehehe
No comments:
Post a Comment