Putrajaya: Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia
(Pekastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharudin Ibrahim, 58, mati
ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 3 di sini, jam
8.15 pagi semalam.
Mangsa yang duduk di bahagian depan
penumpang kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak
dekat oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di
persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa menghala ke Lebuh Wawasan di
sini.
Kejadian berlaku ketika kereta mangsa yang dibawa pemandunya
berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki
menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan
tiga das tembakan ke arah mangsa. Mangsa yang cedera parah di leher dan kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya (HPJ) jam 9.20 pagi.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,
Datuk Ku Chin Wah berkata, sebaik melihat mangsa cedera parah ditembak,
pemandunya membawanya terus ke Unit Kecemasan HPJ tetapi disahkan
meninggal dunia setengah jam kemudian. Chin Wah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumah anaknya di Dengkil menuju ke pejabat beliau di Putrajaya.
Beliau
berkata, siasatan mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol
automatik dan polis masih menyiasat punca dan motif sebenar kejadian
selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu
siasat.
Sementara itu, sumber memberitahu BH, pembunuhan Shaharuddin
dipercayai ada kaitan dengan beberapa kes rampasan dadah oleh KDRM sejak
awal tahun ini antaranya 73 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM14
juta yang cuba diseludup ke negara ini melalui kargo udara Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India pada 15 Mac lalu.
Katanya,
mangsa yang disifatkan pegawai yang jujur, amanah dan beretika dianggap
ancaman besar oleh sindiket penyeludupan bahan larangan ke negara ini. Menurutnya,
sebaik mengetuai Bahagian Cukai Dalam Negeri (CDN) import/eksport dalam
Perkhidmatan Teknik (PERTEK), Shaharuddin menerima pelbagai ancaman
termasuk ugutan bunuh.
“Berikutan penguatkuasaan undang-undang
yang begitu ketat, kumpulan atau sindiket tempatan dan antarabangsa yang
menyeludup dadah, rokok, mercun, minuman keras dan senjata api mulai
berasa terancam.
“Bukan hanya ancaman daripada sindiket, kumpulan
yang cuba menyeludup masuk barang yang tidak diisytiharkan atau lari
dari cukai turut mengancam nyawa setiap kakitangan KDRM,” katanya
semalam.
Sebelum dilantik Timbalan Ketua Pengarah KDRM pada 18
Ogos 2011, Allahyarham yang juga anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan
adalah Pengarah KDRM Kelantan.
sumber: bharian.com
p/s: Al Fatihah kepada keluarga mangsa..bila berlaku jujur, amanah & adil..beginilah jadinya..tapi kalau x berlaku jujur, adil & amanah..lagi teruk rasanya..semoga rohnya dicucuri rahmat..